Tuesday 25 October 2011

Penggunaan Haji, Hajah


APAKAH dibolehkan seseorang itu ‘menuntut’ dan menggunakan gelaran ‘Haji’ atau ‘Hajah’ sesudah pulang daripada menunaikan ibadat itu?

Adakah ia satu kesalahan di dalam Islam kerana tidak pernah digunakan oleh Nabi dan sahabat? Jika dibenarkan, apakah pula ulasannya?

Jawapan

Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Sebelum ini juga ramai bertanya sama ada gelaran ‘Haji’ boleh digunakan kepada mereka yang selesai menunaikan haji.

Saya teringat sekitar 10 tahun lalu, seorang kenalan saya memarahi rakannya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran itu.

Bila saya tanya kenapa sampai begitu sekali, dijawabnya: “Ye la, kita dah bertungkus-lumus melaksanakan haji, berbelas-belas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita dengan pengiktirafan.” Demikian tegasnya secara emosi.

Saya yakin, pembaca mempunyai pelbagai reaksi membaca jawapannya. Majoriti mungkin merasa tidak bersetuju dengan hujah yang disebut sahabat itu tadi.

Namun, itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam, khususnya di Malaysia. Mereka ingin serta berasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji’ sesudah pulang daripada mengerjakan ibadat agung itu.

Jadi persoalan kita ketika ini, adakah ia dibolehkan di sisi Islam?
Pada pendapat saya, gelaran sebegini bukan persoalan ibadat khusus yang memerlukan kepada dalil khusus daripada amalan Rasulullah SAW atau sahabatnya.

Isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil khusus. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas, sama ada untuk mengarah atau melarang.

Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau disiplin dalam gelar- menggelar boleh diambil daripada firman Allah SWT seperti tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat yang bermaksud: “Janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri fasik selepas kamu beriman.”

Jelas daripada ayat di atas, prinsipnya adalah Allah SWT melarang umat Islam menggelar saudara seagama dengan apa juga gelaran buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagi mana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.

Imam Abu Ja’far At-Tabari mengatakan: “Memanggil dengan gelaran adalah seperti seseorang memanggil saudaranya dengan cara yang dibencinya sama ada (menggunakan) nama tertentu atau sifat. Dan larangan Allah SWT itu umum tanpa sebarang pengkhususan kepada satu jenis gelaran tanpa yang lain, maka oleh itu, tidak harus (haram) bagi seorang Muslim untuk memanggil saudaranya sama ada dengan nama atau sifat yang dibencinya.” (Jami al-Bayan, 22/29)

Justeru dalam Islam, budaya gelar menggelar dengan gelaran buruk bukan tindakan benar, malah paling keji dan hanya mainan individu yang dipimpin emosi.

Jangan sesekali mudah memulakan gelaran seperti ‘ulama Mi egera’, ‘Si bodoh’, ‘Munafik’ dan lain-lain.

Walau apapun sebab dan latar belakang kemarahannya, menggelar seseorang dengan gelaran buruk bukan caranya. Ada banyak cara bahasa lain yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.

Ia hanya akan memburukkan keadaan dan seterusnya menjatuhkan maruah anda sendiri, bukan mereka yang digelar.

Tiada kebaikan yang boleh tersebar daripadanya kecuali kepuasan peribadi pihak menggelar kononnya untuk menegakkan yang hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing.

Islam melarang menggelarkan seseorang dengan sebarang gelaran buruk, dilarang juga mengkafirkan seseorang tanpa kejelasan yang putus atau kelak kekafiran dan gelaran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Seluruh gelaran buruk yang dicipta juga akan kembali kepada individu yang memberikan gelaran buruk itu.

Namun demikian, ada pengecualian jika sesuatu gelaran dibuat bagi keadaan tertentu seperti untuk membezakan antara individu, maka mereka digelar dengan sifat atau nama yang sesuai bagi fizikal mereka. Walaupun gelaran itu buruk, panggilan itu dibuat bukan untuk menghina dan merendah, ia hanya diniat untuk memberi pengenalan kepada mereka yang bertanya. Tatkala itu, ia dibenarkan.

Demikian juga jika ada maslahat lebih besar untuk dijaga, seperti ulama menggelar beberapa ‘perawi’ sebagai ‘kazzab’ yang ertinya ‘banyak berbohong’ bagi menjaga ketulenan sesebuah hadis. Namun, ia bukan diguna secara meluas hingga ke peringkat masyarakat awam kerana hal sedemikian hanya diketahui golongan ulama daripada kalangan pengkaji hadis dan perawinya.

Hadis Riwayat Abu Daud menyatakan, terjadi perbualan antara orang ramai dan Rasulullah apabila mereka memanggil baginda: “Wahai Rasulullah, wahai yang terpilih dan anak yang terpilih, tuan kami dan anak kepada tuan.”

Namun, Rasulullah SAW lantas menjawab: “Wahai manusia, kamu berkata dengan perkataan kamu, namun jangan sampai kamu diselewengkan oleh syaitan, aku adalah Muhammad, Hamba Allah dan Rasul-Nya, tiadalah aku suka kamu mengangkat darjatku melebihi darjat yang diberikan Allah kepadaku.”

Kita perlu tahu bahawa gelaran perlu digunakan secara berhati-hati supaya tidak melampau sehingga terjebak dalam kes pengikut Kristian yang menganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan akibat berlebihan dalam mengagungkan dirinya.

Tentunya tiada halangan di dalam Islam untuk gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti Tuan Haji, Ustaz, Dr, Datuk, Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa juga gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan.

Isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riak, takbur dan ‘ujub’ adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di depannya.

Kesimpulannya, jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, jangan dilakukan. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukan pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Say- yid dan sepertinya.

Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji dan ia disukai olehnya, sudah tentu ia tidak dilarang, sebaliknya lebih digalakkan lagi.

Ini kerana, mungkin gelaran itu boleh mengingatkannya kepada Allah SWT serta boleh mengekalkannya dirinya supaya sentiasa insaf kepada Allah SWT.

Apatah lagi apabila menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik itu.

Adakalanya, gelaran ‘Haji’ juga diguna semata-mata kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang bagi menunjukkan hormat kita.

Saya pernah mempunyai beberapa kenalan jutawan veteran yang sangat rapat dengan saya, walaupun mereka jutawan, hartawan, pengasas dan ketua syarikat masing-masing, mereka belum menerima anugerah Datuk dan juga bukan pemegang taraf Doktor Falsafah.

Justeru, gelaran apa paling sesuai untuk memanggil mereka di samping menunjukkan penghormatan kita kepada umur peringkat itu?

Tatkala itu saya hilang idea, hanya gelaran ‘Tuan Haji’ saya kira paling sesuai setiap kali berhubung dengan mereka. Gelaran pakcik atau gelaran syeikh pasti kurang sesuai dengan orang yang berperwatakan sepertinya.

Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang bergelar ‘tuan haji’ dan ‘puan hajah’ melakukan maksiat dan dosa terang-terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya membabitkan tangkapan khalwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasanya tersiar di dada akhbar.

Namun demikian, hal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji’ dan Hajah’ sebagai haram.

Bagaimanapun perlu diingatkan, walaupun seseorang itu ‘harus’ mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji’, yang perlu disedari adalah pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukan kerana gelaran yang diberi manusia, sebaliknya pandangan serta pengiktirafan Allah SWT sendiri.

masa depan umat Islam

Ciri-ciri Tamadun Islami

Dalam menghuraikan tajuk yang diberi, Sheikh as-Sudais telah menyenaraikan dan menghuraikan beberapa ciri yang mesti dipenuhi untuk memastikan masa depan Tamadun Islami berjaya.  Berikut adalah beberapa mesej yang sempat saya salin dari ucapan beliau:
  1. Tamadun Islami mestilah didasarkan oleh aqidah yang betul sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan golongan terdahulu selepas Baginda, iaitu golongan salaf.  Tanpa aqidah yang betul, tamadun Islami yang ingin dibangunkan tidak akan berjaya.
  2. Ia mestilah dibangunkan di atas prinsip-prinsip moral dan etika yang betul berlandaskan apa yang telah ISLAM gariskan.
  3. Cara membangunkan Tamadun Islami mestilah merujuk kepada cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam membangunkan masyarakat dan negara Islam.  Tiada rujukan yang lebih baik, kerana pada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam itu adalah ikutan yang terbaik.
  4. Ia didasarkan kepada menjaga maruah manusia.
  5. Tidak boleh lari dari melindungi 5 kepentingan seperti yang dinyatakan di dalam maqasid syariah yang biasa kita dengar, iaitu:
    1. Melindungi agama
    2. Melindungi nyawa dan diri manusia
    3. Melindungi akal
    4. Melindungi kehormatan dan maruah diri
    5. Melindungi harta
  6. Maqasid Syariah di atas bukan sahaja melindungi kepentingan si Muslim, tetapi juga melindungi si non-Muslim.  Ia melindungi kepentingan semua.
  7. Tidak seperti tamadun lain yang biasanya hanya menumpukan salah satu, iaitu samada aspek rohani atau material.  Tamadun Islami menumpukan kepada kedua-dua aspek iaitu rohani dan juga material.  Adalah anggapan yang salah sekiranya seseorang menganggap ISLAM hanya menumpukan aspek rohani sahaja.
  8. Setiap lelaki dan perempuan diberikan taklif yang sama iaitu menanggung amanah dan bertanggungjawab terhadapnya.  Namun, lelaki dan perempuan mempunyai peranan masing-masing dan mesti memainkan peranan itu dengan sedaya mungkin.
  9. Walaupun di dunia ini mempunyai bangsa yang berbeza, namun tumpuan hendaklah ditumpukan kepada nilai kemanusiaan dan tidak boleh dilayan manusia itu berdasarkan kaum dan bangsa yang berbeza.  Pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, walaupun para sahabah berbeza bangsa dan keturunan, hatta ada yang datang dari negara yang lain pun diberi layanan yang sama rata, malah memegang peranan yang penting mengikut kepakaran masing-masing.
  10. Tamadun Islami yang hendak dibina mestilah berdasarkan kepada ilmu.
  11. Tamadun tersebut mestilah membawa kebaikan kepada seluruh manusia dan penghuni dunia.
  12. Tamadun yang berjaya adalah tamadun yang menghargai nilai keintelektualan.
  13. Semua kebaikan itu bukan sahaja untuk Muslim sahaja, malah juga kepada yang bukan Muslim.
  14. Prinsip keadilan mesti dijadikan asas kepada Tamadun Islami.
  15. Kebebasan juga merupakan unsur yang penting di dalam Tamadun Islami.  Kebebasan yang dimaksudkan adalah kebebasan yang masih di dalam lingkungan syara`.  Kebebasan tidak sama dengan anarki.  Sistem Anarki bermaksud sistem kebebasan tanpa peraturan, tanpa undang-undang dan tanpa pemerintahan.  Bukan itu maksud kebebasan di dalam ISLAM.  Anarkisme tidak diterima di dalam ISLAM.
  16. Sheikh Sudais juga telah menekankan prinsip washatiyyah iaitu kesederhanaan.  Sifat melampau samada terlalu ketat atau terlalu longgar dalam mengamalkan ISLAM tidak patut dibiarkan berlaku.  Kerana ia boleh membawa kesan yang buruk dan boleh memberikan maksud yang tidak baik kepada agama ISLAM dan keseluruhan manusia.
  17. Hendaklah Tamadun Islami yang dibina itu mempunyai sifat tasamuh iaitu toleransi sesama manusia.  Lihat sahaja bagaimana kisah pembukaan Mekkah oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, pembukaan beberapa negara oleh Umar ra, pembukaan Palestin oleh Salahuddin al-Ayubi dan pembukaan Istanbul oleh Muhammad al-Fateh.  Mereka tidak berdendam, malah bertoleransi dan memberi maaf kepada musuh-musuh ummat ISLAM.
  18. Tamadun Islami juga mestilah didasarkan dengan nilai-nilai keamanan dan kesejahteraan manusia.  ALLAH subhanahu wa Ta`ala tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan!
  19. Semua nilai-nilai di atas hanya boleh dibina dengan mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi iaitu Iman.  Tanpa Iman, sukar untuk ia dicapai.

Cabaran Ummat ISLAM

Ada 2 cabaran besar yang dihadapi oleh ummat ISLAM dalam usaha untuk merealisasikan Tamadun Islami.  Pertama ialah cabaran dalaman, iaitu cabaran yang ditimbulkan oleh ummat ISLAM sendiri.  Dan yang kedua ialah cabaran luaran, iaitu cabaran yang ditimbulkan oleh pihak yang bukan dari kalangan ummat ISLAM dan suasana persekitaran.  Berikut adalah beberapa senarai cabaran yang disebut beliau:
Cabaran dalaman:
  1. Ummat ISLAM tidak mengambil Islam sebagai sistem hidup.
  2. Ramai ummat ISLAM mempunyai salah faham terhadap ajaran ISLAM itu sendiri.
  3. Ramai salah aplikasi ajaran ISLAM.
  4. Hasil daripada salah faham dan salah aplikasi ini maka wujudlah fitnah terhadap ISLAM.  Ummat ISLAM mesti ambil peranan untuk memberikan penjelasan kepada ummat ISLAM sendiri dan juga kepada yang bukan ISLAM.
  5. Tidak bersatu.
  6. Hendak bersatu mestilah masing-masing merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah dan fahami betul-betul ajaran dan maksud ajaran di dalamnya.
  7. Jangan mudah melabel orang lain.  Jangan menuduh orang lain kafir, sesat, fasiq dan lain-lain gelaran tanpa haq.
  8. Jika ada perbezaan pendapat dan pegangan, jangan bergaduh.  Utamakanlah kesatuan ummah.  Kesatuan ummah itu mesti menjadi agenda penting.  Perbezaan di antara muslim dengan muslim tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan.
  9. Sikap suka menyalahkan orang lain.  Jangan mudah menyalahkan unsur luar seperti negara barat atau pihak-pihak tertentu.  Ummat ISLAM mestilah melihat kepada kesilapan dan kelemahan diri sendiri.  Dan berusaha ke arah memperbetulkannya.
Cabaran luaran:
  1. Syahwat dan syubuhat.
  2. Manipulasi orang lain, terutama Barat dan lain-lain tamadun.
  3. Globalisasi adalah ancaman yang sangat merisaukan.
  4. Internet dan media
Walaupun Sheikh as-Sudais menyenaraikan beberapa cabaran dan unsur luaran yang boleh menggugat ummat ISLAM, namun beliau tetap menegaskan bahawa kita sebagai ummat ISLAM jangan terlalu tumpukan sangat kepada unsur luaran dan menyalahkannya.  Kerana apa yang lebih penting ialah melihat ke dalam diri kita sendiri.  Dan cuba untuk memperbaiki kesemua kelemahan itu…
Di akhir syarahan, Sheikh as-Sudais menekankan bahawa masa depan dunia adalah dengan ISLAM.  Dan ini pasti berlaku kerana ia telah difirman ALLAH & disabdakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Beliau memetik ayat al-Quran dan hadith yang menjanjikan hal ini, namun atas kedhaifan saya, saya tidak dapat memetik ayat al-Quran dan hadith yang beliau nyatakan.
Itulah antara perkara penting yang disentuh oleh as-Sheikh.  Sebenarnya mungkin banyak lagi yang disentuh oleh beliau, tetapi saya tidak mampu menyalinnya dengan sempurna.  La haula wa la quwwata illa biLLAH.
Bahasa yang digunakan oleh Sheikh as-Sudais memang sedap didengar.  Disebut satu-satu perkataannya dan penuh makna, juga sarat dengan ayat-ayat dari al-Quran dan al-Hadith.  Penuh dengan mesej.  Profesor Ibrahim Zein yang menterjemahkan syarahan beliau, dengan merendah diri mengakui beliau tidak mampu menterjemahkan semua bahasa Arab yang digunakan oleh Sheikh as-Sudais ke dalam bahasa Inggeris kerana bahasa yang digunakan oleh Sheikh penuh dengan retorik dan makna yang mendalam.
Apa yang saya perhati, yang menariknya tentang Sheikh as-Sudais ini, beliau kadang-kadang bergurau dan berjenaka dengan moderator majlis.  Dan selang beberapa sesi, beliau akan berhenti untuk bertanya dengan para hadirin.  Beliau mengajukan beberapa soalan untuk dijawab oleh hadirin untuk menguji kefahaman hadirin.  Dalam sesi syarahan yang berlangsung 1 jam 30 minit itu, beliau telah berhenti sebanyak 3 kali untuk berinteraksi dengan hadirin.  Dan alhamdulillah, hadirin juga dengan sangat teruja menjawab soalan-soalan beliau.  Sesi soal-jawab tidak dapat dilakukan dengan sempurna disebabkan oleh kesuntukan masa.
Mudah-mudahan catitan ini ada manfaatnya buat diri saya dan buat kalian yang mungkin terbacanya.  Semoga kita semua berupaya untuk mengambil iktibar dan berubah berdasarkan beberapa mesej yang tercatit di atas.  La haula wa la quwwata illa biLLAH…
WAllahu Ta`ala A`lam.

berubah ke arah kebaikan...

Setiap orang mempunya potensi untuk menjadi baik kerana mencintai kebenaran itu adalah fitrah manusia.
"Adik-adik, siapa yang menggerakkan hati untuk kamu semua baca tentang artikel-artikel tazkirah, pergi ke web islam, mendengar nasyid, datang ke usrah dan sebagainya? Jawabnya adalah Allah S.W.T jua yang menggerakkan hati-hati kamu semua. Maka jangan disia-siakan segala petunjuk itu," ujar seorang kakak pada sesi perkongsian.
Kita mahu menjadi baik tetapi di mana kesungguhan kita untuk menjadi baik itu?
Istiqamahkah kita pada jalan-jalan kebaikan?
Baik itu bagaimana sebenarnya?
Baik itu adalah apabila kita mula kembali kepada ajaran agama Allah S.W.T. Jika tidak bertudung, sudah mula mahu bertudung. Jika tidak solat, sudah mula mahu belajar solat, dan contoh-contoh lain.
Ada orang kata cukuplah aku menunaikan segala rukun yang ditetapkan.
Jawapan saya, tidak cukup baik.
Kerana anda masih tidak menunaikan hak sesama muslim.
Apa itu hak sesama muslim?
Yakni mencegah kemungkaran dan menyeru ke arah kebaikan.
Jika baik, biarlah baik yang sepenuhnya, bukan baik separuh, jahat separuh.
Bagaimana pula boleh separuh?
Seperti cerita Robin Hood. Hero itu baik, tolong orang-orang miskin yang ditindas. Tetapi jahat juga kerana dia mencuri. Tidak ke lagi bagus si Robin Hood berniaga, kemudian menjadi orang kaya dan menolong orang miskin. Selain itu boleh menjadi ahli politik, kelar dasar orang kaya yang suka menindas. Itu lebih elok dari dia pergi mencuri dan merompak.
Jadi, bagaimana anda yang punya potensi untuk menjadi baik?
Selama ini anda suka melayari web Islam atau blog seperti iluvislam.com, halaqah.net, saifulislam.com, langitilahi.com dan sebagainya.
Selama ini anda menonton cerita berunsur Islam seperti Ketika Cinta Bertasbih, Semanis Kurma, al-Kuliyyah dan sebagainya.
Selama ini anda mendengar nasyid seperti Maher Zain, Raihan.
Selama ini anda membaca majalah dan novel seperti Solusi.
Selama ini anda sering menghantar post di facebook mengenai hadis dan sebagainya.
Bukankah itu adalah potensi?
Dan potensi itu digerakkan oleh Allah S.W.T. Ini bermakna itu adalah petunjuk untuk anda berubah menjadi baik.
Anda tidak perasankah selama ini?
"Suhana, kamu dengar radio apa tu? Lagu-lagu nasyid kat situ semua bestlah." Tanya rakan sekerja saya.
"Oh, radio online. Nasyid.fm, lagu-lagu kat sini memang semua best. Jarang dapat dengar dekat ikim," ujar saya.
"Itulah selalu pasang ikim.fm kalau dalam kereta. Tapi tak ada pula lagu best macam ni."
Saya terdiam.
Bagusnya, perwatakan rakan sekerja saya ini bolehlah dikatakan lelaki lembut, suka bersolek. Tetapi dia ada potensi itu.
Potensi untuk menjadi baik.
Maka jangan kita memandang orang itu dengan pandangan negatif.
Cukup baikkah kita untuk menilai dan menghukum seseorang?
Anda sentiasa mahu menghukum dan mengkritik, tetapi anda pernahkah mendoakan orang-orang yang dikritik itu menjadi baik?
Justeru, keluarkan potensi yang ada itu. Jangan biarkan ia statik tanpa dialirkan. Kita boleh menjadi lebih baik jika membina potensi baik itu dengan semaksima mungkin.
Jika mahu jadi baik, lakukan dengan kesungguhan. Jangan takut untuk menjadi baik. Cerahkan pemikiran anda bahawa baik itu disukai Allah S.W.T, kita suka jika Allah S.W.T suka bukan?
Jangan sia-siakan petunjuk yang Allah S.W.T beri. Takut nanti Allah S.W.T tidak memberi lagi.
Jika berlaku begitu, bukankah kita yang rugi?
Mari kita sama-sama menjadi baik yang sepenuhnya.
Benarlah kata Nabi saw:-
"Sesiapa yang Allah S.W.T kehendaki kebaikan padanya, akan diberi kefahaman di dalam Agama."(Hadis riwayat Ahmad di dalam Kitab Min Musnad Bani Hashim)

credit to atira isa

Monday 24 October 2011

solat itu buang masa???

"Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?" Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.

Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:

"Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?"
Seorang pelajar menjawab, "kerana mereka jarang melihat orang solat."
Yang lain menjawab, "mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam."

Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.

"Ada sebab lain?" tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.

"Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa..." kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.

"Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? "

"Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa," jawab seorang pelajar secara spontan.

Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.

"Apa yang saudara jawab?" tanya saya menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.

"Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu."

"Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu."

"Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?"

"Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri," jawab saya.

"Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?" tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).

Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.

"Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat "maintanance" kapal terbang, kereta api elektrik ("bullet train") dan kereta kamu..." terang saya.

Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.

"Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?"

"Tentulah manusia," jawab mereka hampir serentak.

"Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?

"Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?"

"Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami "maintenance" diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu sendiri."

"Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?"

"Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!"

"Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya terkawal," sampuk seorang pelajar di barisan belakang.

"Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi," tambah yang lain.

"Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!"

"Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan seorang manusia," ujar saya sebagai satu kesimpulan.

SOLAT ITU SOAL PERIBADI?

Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.

"Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing."

"Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi," tekan saya.

"Mengapa?"

"Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran."

"Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga..."

"Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja," tusuk saya perlahan.

"Kemungkaran dalam kerja? Apa tu?"

"Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan."

"Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan."

"Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan."

"Kenapa?" tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.

"Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat."

"Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita," katanya berterus-terang.

"Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik."

Dia merenung muka saya lalu berkata,"tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?"
"Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?" balas saya.

Setelah melihat dia diam, saya menambah, "sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?"

"Kos... kos dan peruntukan latihan akan bertambah," balasnya.

Kali ini saya pula terdiam.

"Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?"

"Itu soal pihak atasan..." kilasnya.

"Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka."

"Baik tu baik. Tetapi..."

"Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan," pujuk saya.

Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, "insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu."

Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam.... tetapi oleh orang Islam sendiri.

Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!

credit  to atira isa