Wednesday 21 September 2011

Penting jga hati org lain....

Individu berasakan tak singgung perasaan mana-mana pihak boleh teruskan puasa enam hari

AIDILFITRI perayaan yang dianjurkan Baginda SAW sebagai simbol kemenangan kepada umat kerana berjaya menahan nafsu sepanjang sebulan Ramadan. Nilai kegembiraan itu sangat besar sehinggakan diharamkan bagi umat Islam untuk berpuasa pada hari berkenaan.

Namun, kesinambungan taqwa yang diperoleh sepanjang Ramadan perlu diteruskan dengan anjuran untuk berpuasa enam hari berikutnya pada Syawal sehinggakan nilai tambah bagi puasa itu menyamai ganjaran berpuasa selama setahun.

Walau bagaimanapun, asas ilmu pengetahuan dalam sesuatu ibadah itu perlu supaya kita bijak beramal mengikut tuntutan sebenar Nabi SAW.

Secara tradisinya, sambutan Aidilfitri di Malaysia disambut selama sebulan. Kemeriahan penganjuran rumah terbuka sedikit sebanyak mempengaruhi amalan berpuasa sunat Syawal hingga ada yang keliru antara keperluan menerima undangan atau meneruskan amalan berpuasa.

Suasana sambutan yang masih kuat pada hari raya kedua, ketiga dan berikutnya membuatkan sebahagian masyarakat memilih untuk berpuasa pada Syawal kedua secara berterusan selama enam hari sukar untuk diamalkan.

Menurut ulama, pahala puasa enam hari Syawal akan diperoleh sama ada ia dilakukan secara terpisah atau berturut-turut tetapi keutamaan diberikan kepada orang yang bersegera melakukannya.

Dalam Sunan at-Tirmizi, diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak bahawa dia lebih suka berpuasa sunat Syawal pada awalnya. Namun, Imam San’ani dalam kitabnya Subulus Salam menyatakan, tiada dalil khusus menyebut ia perlu dilakukan pada awal bulan Syawal.

Pendapat ini dilihat sesuai dengan keadaan umat Islam di Malaysia yang masih kuat menyambut raya pada hari raya kedua, ketiga dan seterusnya. Malah, amalan ziarah-menziarahi, jamuan makan masih berterusan, apatah lagi kita perlu memenuhi undangan serta menerima kunjungan saudara.

Diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri, katanya: “Aku menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW dan apabila ia disajikan seseorang berkata: Aku berpuasa. Rasulullah SAW bersabda: Saudara kamu menjemput kamu (untuk makan) dan dia telah bersusah payah membuatnya. Bukalah puasamu dan berpuasalah pada hari lain jika kamu mahu.”

Diriwayatkan bahawa Abu Juhaifah berkata: “Abu Al-Darda’ datang dan beliau telah membuat beberapa makanan untuknya (untuk Salman). Maka Abu Darda berkata: Makan. Sesungguhnya aku berpuasa. Salman berkata: Aku tidak akan makan sehingga kamu makan. Maka dia pun makan. Kemudian Abu Darda berjumpa Nabi saw dan memberitahu Baginda perkara itu lalu Nabi SAW berkata: Benarlah kata Salman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Tirmizi).

Ini memberi gambaran kepada kita kepentingan menjaga hati dan perasaan tetamu mahu pun tuan rumah itu suatu yang amat dituntut. Malah, ia lebih penting daripada ibadat sunat. Namun, situasi ini bukanlah suatu yang mengikat.

Boleh juga diteruskan puasa bagi mana-mana individu yang berasakan tiada masalah dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak. Kerana sabit dalam hadis ini situasi dalam melihat fiqh awlawiyat (keutamaan) antara hukum wajib meraikan hati orang lain dan sunat berpuasa.

Kerap juga timbul isu menggabungkan niat puasa antara puasa ganti dan puasa sunat Syawal. Terdapat perselisihan pandangan dalam permasalahan ini. Pendapat pertama, boleh digabungkan kedua-dua niat itu.

Pendapat kedua pula menegah menggabungkan niat puasa ganti dan puasa sunat Syawal tetapi membenarkan sesiapa yang ingin melakukan terlebih dulu puasa sunat Syawal kemudian digantikan puasa Ramadan pada waktu lain.

Manakala, pendapat ketiga pula melarang digabungkan niat serta mewajibkan diganti terlebih dulu puasa Ramadan barulah dituruti dengan puasa sunat Syawal. Ketiga-tiga pendapat ini pendapat dalam kalangan ulama yang muktabar.

Jika diteliti ketiga-tiga pendapat ini, pendapat golongan ketiga itu lebih kuat berbanding pendapat sebelumnya. Namun, Islam tidak memberatkan umatnya dengan bebanan yang tidak mampu dilakukan.

Bagi kes tertentu hingga kepada masyaqqah (kesulitan) yang berat seperti wanita kedatangan haid, nifas serta hutang puasa yang terlalu banyak, menyukarkan mereka untuk berpuasa sunat Syawal maka boleh menurut pandangan golongan pertama dan kedua. Namun saranan untuk mengikut pendapat yang paling kukuh itu lebih perlu diutamakan.

Semoga keluasan fiqh ini tidak membebankan umat menggapai rahmat yang tersembunyi dalam perbezaan kalangan ulama. Beramallah dengan ilmu supaya ketepatan menurut sunnah Rasul itu terpelihara. Semoga amalan kita diterima Allah SWT.

No comments:

Post a Comment